Teori

Tiba-tiba saya teringat sesuatu yang pensyarah saya pernah sebut tentang teori.

Jangan berpegang kepada teori. Kerana teori juga ada kitarannya. Seperti manusia, kerana manusia yang menciptanya. Ada teori yang masih relevan sehingga kini. Ada yang mati, ada yang ditambahbaik. Malah beribu lagi teori lahir setiap tahun.

Maka saya pun terkadang keliru juga, mengapa kita harus berpegang kepada teori tertentu sebelum memulakan langkah pengajian kedoktoran ini.

Kalau saya diarahkan untuk baca lebih banyak buku, make sense juga, kan? 🙂

Birokrasi

Sebilangan orang menghentam perkhidmatan awam dalam pelbagai arah dan konteks termasuk karenah birokrasi.

Pendirian saya, birokrasi perlu ada dalam perkhidmatan awam. Walaupun ia perlu dikurangkan dan ditambahbaik di sana-sini.

Sebab? Kesannya.

Sekiranya sesebuah keputusan Kerajaan khilaf, ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada masa depan sesebuah generasi. Sehingga ke tahap itu. Berbanding sekumpulan pekerja swasta di sesebuah syarikat.

Itu pandangan mudah sayalah.

Fitnah

Apabila seseorang difitnah, pastilah kekecewaan menyelubungi. Perasaan marah melatari “mood” hari itu. Disusuli dendam sehingga suatu masa yang tidak siapa pun ketahui.

Namun, andai kita duduk sebentar untuk menginsafi diri, pernahkah kita sedar tingkahlaku kita kadang-kadang mengundang fitnah? Pernahkah kita sedar bahawa tingkahlaku kita yang berpotensi mengundang fitnah itu diperhatikan oleh orang sekeliling kita?

Sekarang, kalau anda masih tidak sedar, inilah masanya anda “mati” di takuk ini sampai bila-bila.