Pagi Syawal Ke-5

Semua orang masih bercuti. Syawal masih dirai.

Hari Raya 2012

Hari Raya kali ini penuh makna buat diri aku. Kali pertama bersama isteri,aku boleh katakan aku dan isteri masih dalam proses transisi. Dulu bersendiri dengan keluarga induk masing-masing. Sekarang harus menyesuaikan diri bersama.
Menerima keluarga baru juga merupakan perkara baru dan kami suami isteri ini percaya bahawa kami masih dalam proses menyesuaikan diri. Namun pada pandangan aku,setakat ini masih berjaya untuk melaluinya dengan jaya.
Raya ini penuh bermakna. Kali pertama aku ada isteri yang datang bersalaman dengan aku,mengucapkan selamat hari raya dan memohon restu,ampun serta maaf dari aku sebagai suami. Ini petanda bahawa aku memikul amanah untuk menjaganya dan memimpin wanita ini ke jalan yang sepatutnya.
Raya ini penuh maknanya,kerana banyak perkara-perkara positif melingkari aku. Walaupun ada satu dua hal yang mungkin tidak begitu baik,namun aku percaya ia adalah sebahagian dari proses peralihan yang aku maksudkan awal tadi.
Semoga Allah azzawajalla sentiasa memberi aku kekuatan untuk terus berfikiran positif dan melimpahkan rezekiNya. Syukur..

Ramadhan. Bulan Murah Rezeki.

Sepanjang minggu lepas, berbondong-bondong jemputan berbuka puasa untuk kami suami isteri. Semua kami terima dengan tangan terbuka. Syukur benar kami rasakan. Selain dapat beramah-mesra sesama kenalan, dapat juga jimat wang belanja. Cuma, bekalan makanan kami tak terusik buat seminggu. Azam minggu ini – habiskan makanan yang ada. Kalau tak, memang membazirlah. Sebabnya, aku bersahur pun sangat ala kadarnya adanya. Cukup sekadar kurma sebiji dua dan air masak sejuk. Tak tertelan rasanya makanan berat di awal pagi.

Sepatutnya hari ini ada satu lagi. Namun aku lebih selesa untuk menolak dek kerana aku perlu ke UiTM bagi memastikan proposal projek akhir aku berjalan lancar. Tinggal satu semester lagi. Semoga dipermudahkan segalanya.

Terima kasih Tuhan, semoga terus cemerlang hendaknya.

Amin~

Ramadhan #1

Subhanallah.

Tersangat indah Ramadhan kali ini. Kali pertama sebagai suami, kali pertama berpuasa bersama. Syukur aku panjatkan pada Tuhan Azza Wajalla atas nikmat yang tidak terhingga. Kami suami isteri lalui dengan serba sederhana.

Terima kasih juga buat semua yang menjemput untuk berbuka bersama. Moga murah rezeki kalian semua.

Pagi ini keluar keputusan peperiksaan. Dramatik jadinya masa sahur aku. Semua orang dapat emel kecuali aku. Bak meroyan kata orang tua-tua. Jam 6 pagi, emel keputusan aku terima – Alhamdulillah. Jatuh sedikit figura keputusan peperiksaan namun masih dalam lingkungan yang memuaskan hati. Oh, lebih dari puas sebenarnya. Terima kasih Tuhan.

Begitu juga isteri, keputusannya lebih baik dari semester-semester sebelumnya. Aku ucap tahniah, senyum sajalah dia hari ini. Hehe~