Dua Pilihan Untuk Masa Depan Negara Yang Lebih Baik

1. Jadikan sekolah rendah dan menengah hanya satu bahasa pengantar.
2. Kekalkan sistem sedia ada dan terus berjuang mempertahankan bangsa masing-masing.

Kebanyakan masalah kenegaraan di Malaysia ini hanyalah masalah kesamarataan antara kaum. Melayu dengan ketuanan Melayunya, Cina dengan kecemburuannya terhadap Melayu, India tegar berjuang untuk kuil-kuil dan peluang belajar kaumnya, begitu juga dengan etnik-etnik lain dengan perjuangan masing-masing.
Apakah titik akhir perjuangan ini? Aku katakan tiada. Sebab isu ini adalah modal politik bagi setiap pemainnya. Satu pihak berjuang mempertahankannya, satu pihak lagi berjuang memecahkan bentengnya. Itu sahaja, dan ia akan berterusan sehingga akhir zaman. Dan kita yang menjadi rakyat ini terpecah kerana berbondong-bondong berarak mengikut parti masing-masing. Dan begitulah kitarannya sampai Israfil meniup sangkakala.
Untuk menamatkan polemik ini, kita perlu matikan isu akarnya: campurkan rakyat Malaysia sejak awal anak-anak kita ini mengenal huruf.
Satukan aliran sekolah.
Hal ini kerana anak-anak kita ini tidak mengenal dan memahami antara satu sama lain. Anak Melayu tidak tahu bagaimana mahu berkawan dengan anak cina yang bawa bekal gulai khinzir ke sekolah. Hanya kerana ustaz kata khinzir itu haram kita sentuh, langsung kita jauhi kawan cina itu tadi. Sedangkan mereka masih boleh duduk semeja dan berbual mesra, asal tidak berkongsi makanan apatah lagi saling suap-menyuap. Itu sahaja.
Kefahaman yang dapat kita bentuk ini nanti akan melahirkan satu generasi acuan Malaysia. Tidak ada lagi prasangka negatif terhadap kaum lain. Cuma ada satu syarat, kerajaan pada masa itu harus bersedia untuk mendepani masyarakat yang sudah terbuka mindanya. Menerima hakikat bahawa setiap manusia di tanah ini hanya satu kewarganegaraannya – Malaysia. Perkara ini akan mengubah dasar dan halatuju negara secara total.
Cumanya,aku tertanya-tanya juga, apakah kita sudah bersedia? Apakah ahli politik semua sanggup mengorbankan modal politik yang satu ini? Ah, pastikan sukar.
Biarlah, yang penting aku dan keluarga boleh mkn.

Bersosial Sambil Makan-makan

Kini aku dalam perjalanan ke kampus tempat isteri aku belajar. Ada perkumpulan rakan-rakan sekelasnya dan aku akan turut serta. Ini kali pertama aku menyertai sahabat-sahabatnya. Aku gembira. Ini tanda tolak ansur kami bersama. Kawan aku kawan dia juga, dan begitulah selamanya. 🙂

Akhbar: Bertarung Antara Nilai Sosial & Kepentingan Perniagaan!

Statistik Jualan Akhbar (Malaysia Barat) Bagi Tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2011.

1. Metro Ahad

2. Harian Metro

3. Sin Chew Daily

4. Mingguan Malaysia

5. The Sunday Star

(Sumber: Audit Bureau of Circulation)

Aku suka meneliti jualan akhbar dan “rating” program televisyen. Sebab dua figura tersebut boleh memberi laporan tentang bagaimana masyarakat yang aku gauli kini bergerak pemikirannya. Ya, kedua-duanya adalah tanda aras. Sebagaio contoh, statistik yang aku “tampal” diatas. Menurut Audit Bureau of Circulation (ABC), jualan akhbar Metro Ahad bagi tempoh yang sudah tertera disitu, adalah yang tertinggi. Mengekori rapat – Harian Metro. Oh ya, lebih menarik lagi, jarak antara jualan Metro Ahad dan Harian Metro dengan Sin Chew Daily adalah besar juga jurangnya. Walau bagaimanapun, tidaklah adil hendak dibandingkan dua jenis akhbar (Sin Chew & Metro) kerana bahasa pengantarnya berbeza.

Pada permulaan entri ini aku “lekatkan” juga satu paparan muka depan Metro Ahad sebagai contoh. Ini hanya contoh sahaja. Banyak juga akhbar lain yang buat benda yang sama (kepada sahabat-sahabat NST yang baca entri ini, kalau ada, entri ini tidak perlu diambil serius!). Jelas menunjukkan perkaitannya. Muka depan sensasi – jualan naik. Sensasi bagi akhbar kita adalah seks. Asal hari Ahad je, keluarlah kisah “Warung Janda”, “Suamiku Letih”, “Janda Dahaga” dan macam-macam lagi. Sebagai akhbar Melayu, aku jadi malu. Malu kerana Harian Metro diangkat sebagai akhbar arus perdana…!

Murah nilai “arus perdana” orang-orang Melayu.

Kita adalah apa yang kita baca, aku sedut kata-kata itu yang sudah biasa kita dengar dalam pergaulan seharian. Tapi orang Melayu ini cakap saja, tidak buat pun. Mereka kata hidup kena banyak bersabar, tetapi perkataan “amok” pun orang Barat ambil dari Bahasa Melayu sebab di Barat sana tidak wujud perkataan itu. Melayu adalah bangsa retorikal. Mereka terbuai dengan bahasa yang muluk-muluk dan berpegang kepadanya. Malah, mereka sanggup berperang sekiranya ada yang menyanggah sesuatu terma yang sudah mereka pegang. Perkataan lebih penting dari “roh”, ideologi atau konsep sesuatu pemikiran. Contoh: Islam Hadhari UMNO lawan Hadharal Islamiyyah PAS, Reformasi lawan Satu Malaysia (yang sebenarnya membawa garapan pemikiran yang sama saja!) dan sebagainya.

Berbalik pada isu akhbar Melayu yang punya konflik jati diri dan nilai.

Lantas kepada siapa jari mahu ditudingkan? Kerajaan? Masyarakat? Pihak akhbar?

Di pihak kerajaan, bukan aku mahu menyalahkan, cuma aku fikir kerajaan (walau siapapun yang memerintah) harus jadi kerajaan yang bertanggungjawab. Aku setuju bahawa dalam dunia demokrasi, ada dua isu yang membelenggu mereka tatkala memerintah, iaitu: (1) membuat keputusan yang populis agar dapat memuaskan hati semua pihak dan (2) membuat keputusan untuk kebaikan dan masa depan rakyat. Sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk menyebelahi masa depan rakyat, pihak industri akhbar yang “bermasalah” ini akan membuat tindakan balas “menyerang” kerajaan. Sebab, pada pandangan industri, akhbar yang kurang sensasi adalah akhbar yang rugi. Tambahan pula, orang Melayu mudah dipancing dengan seks. Padahal Melayu ini “semangat” seks saja kuat, prestasinya biasa-biasa saja sebab Melayu bukan bangsa yang aktif dan secara biologinya pun bukanlah pemilik rekod zakar terpanjang.

Namun secara tegasnya memang kerajaan, pada pandangan kasar aku, berhak untuk memastikan bahan penulisan yang benar-benar baik dapat dihidang kepada masyarakatnya. Mereka yang mempunyai suara majoriti dalam Dewan Rakyat, menguatkuasakan undang-undang dan sesuatu yang tidak dapat kita sangkal adalah fakta bahawa mereka secara tidak langsung “memiliki” kepentingan dalam banyak organisasi media dalam negara. Dalam situasi mereka “menguasai” industri ini, tidak kelihatan sebab mereka tidak mampu untuk mengubah budaya dalam beberapa organisasi kecil yang menimbulkan kecanduan masyarakat terhadap berita-berita picisan. Agak berat pernyataan ini, namun sekiranya kita mahu membentuk suatu tamadun baru Malaysia yang lebih agung, kita harus menjunjung sepenuhnya hasrat untuk menyuburkan masyarakat berpengetahuan (knowledge society) di Malaysia ini. Jika tidak, wawasan 2020 kita hanyalah pada keindahan bangunan dan infrastruktur.

Kedua, masyarakat ini sendiri haruslah mula untuk mendidik diri dan keluarga untuk mula mencintai buku ilmiah. Melalui pembacaan bahan ilmiah, anda akan mula hilang minat terhadap hasil tulisan yang picisan. Sebagai contoh, tatkala anda sudah mencambah minat dalam hal-hal berkaitan perkembangan teknologi atau falsafah, kisah tarian tiang dan warung janda anak lima yang terpapar di mukadepan akhbar bukan lagi jadi tarikan dan kepentingan untuk anda ketahui dan baca lebih lanjut. Kecualilah memang anda datang dari keturunan yang tegar menjaga tepi kain orang (mungkin faktor keturunan buat kita payah mengubah dan memendekkan hayat akhbar picisan. Siapa tahu?!). Ya, untuk beranjak, anda mungkin boleh mulakan dengan bahan-bahan yang sedikit ringan. Tidak perlu mulakan dengan Mein Kampf (karya Adolf Hitler), Das Kapital (Karl Marx), Tuhfat An-Nafis, Bustan al-Katibin atau karya-karya seangkatannya kerana anda akan hilang minat langsung untuk membaca selepas itu, malah mungkin sudah angkat bendera putih seawal mukasurat ke dua atau tiga! Buku-buku biografi tokoh-tokoh tertentu yang dekat dengan kita, penceritaan tentang sesuatu peristiwa yang baru berlaku sekitar lima puluh tahun sehingga kini, hal ehwal geografi sesuatu negara atau tempat, semua ini bisa meningkatkan minat kita untuk membaca dan membina perspektif dari dalam. Jangan lupa untuk ajak anak-anak mencambah minat bersama. Semua ini bisa dilakukan. Kerana aku percaya perubahan dalam masyarakat akan berlaku bermula dari komponen paling tunggalnya iaitu diri sendiri dan keluarga.

Aku pasti dan yakin dengan percaya sepenuhnya bahawa tanggungjawab mengangkat martabat bangsa adalah terpikul bersama di bahu kita semua. Kini kita asyik mengeluh tentang keadaan bangsa kita sendiri. Namun kita tidak berbuat apa-apa. Kita hanya mendesak satu pihak untuk bergerak namun kita masih berdiri tegak. Kita desak kerajaan untuk tambahkan subsidi dan anjur pelbagai program untuk memajukan bangsa, namun kita sendiri tanpa sedar tidak berbuat apa-apa, dan tindakan untuk tidak berbuat apa-apa itu telah merosakkan bangsa kita dari dalam. Lantas, apabila bangsa kita statik dan tidak maju-maju, dan nikmat kemajuan mula dimiliki oleh bangsa asing, kita menjerit pula dan meratapi kemunduran.

Sedangkan kemunduran itu kita yang benarkan ia berlaku, termasuk meredhakan kewujudan akhbar picisan.

Bengkel

Kerja pejabat sudah selesai. Kini aku melayan teman kesayangan – gen 2 di bengkel. Tatkala Amnah di kampus, aku di sini melayan kereta. Kalau Amnah ada, dia nombor satu. Ah, perut aku tak selesa rasanya. Agak-agak, kalau telan julap, bisakah ia lega?

Buntu

Sahabat-sahabat sekelas beri pesan, bersedia dengan tajuk kajian untuk kelas Methode Kajian hujung minggu ini. Tajuk apa pun bisa, asal dalam konteks pengajian. Asalnya aku fikir ini tugas mudah, namun pagi ini tatkala aku mula memikirkan topik yang sesuai, aku jadi buntu. Ada beberapa bidang yang aku fikir sesuai. Bingung mahu pilih yang mana satu. Yang hampir pasti, aku akan pilih bidang politik. Itu minat aku. Takpelah, masih punya kesempatan. 🙂

Sekolah Kosong, Pejabat Separa Sunyi

Hari pertama aku mula bekerja untuk minggu ini. Mula-mula aku pelik, tatkala jarum jam ke 8.30 pagi berdetik, pejabat masih tidak meriah dengan warganya. Apa mungkin ada acara tertentu yang di luar pengetahuan aku.
Kemudian papan maklumat warga aku periksa, penuh dengan kenyataan cuti rehat setiap kakitangan. Cawangan lain pun begitu. Oh, sekarang musim cuti. Aku sahaja yang tidak mengerti. Chait..!! Hahaha~

Selesai

Aah..selesai sudah majlis sambut menantu di Johor. Meriah yang amat! Ada persembahan tarian zapin, silat pengantin, kugiran (baca: kumpulan gitar rancak) dan bermacam lagi..! Umpama satu pesta bagi penduduk Kampung Tengah, tempat majlis diadakan. Oh ya, dalam majlis yang seperti ini, memang akan banyak sumbangan dihulur dan bantuan dalam pelbagai bentuk diberi oleh setiap warga kampung. Tajaan pun tak kurang banyaknya. Sekurang-kurangnya aku belajar bahawa hidup bermasyarakat sememangnya memudahkan banyak perkara dan mengurangkan banyak kos, terutama bagi penganjuran majlis-majlis seperti ini. Terima kasih tidak terhingga buat anda semua.
Kiranya keseluruhan hal-hal berkaitan perkahwinan kami sudah selesai. Tumpuan aku kembali kepada pengajian dan kerja. Amnah pun macam itu, tumpu pada pengajian yang tinggal satu dua semester lagi. Hidup kami setakat ini tidak banyak beza dengan zaman bujang. Cuma bahagian yang bertambah adalah kami kini tingga sebumbung. Terima kasih Tuhan. 🙂