Memandang Gelagat Marhaenis Waktu Makan Tengahari

Pekan Pelabuhan Klang. Jam duabelas suku tengahari. Jalan sibuk dengan kenderaan bersimpang-siur bermacam arah. Lampu isyarat bagai temengah-mengah melayan trafik yang tiada hentinya. Hon kenderaan menjerit-jerit bersahut-sahutan.
Pejalan kaki pun tidak kurang meriahnya. Ada yang menjinjit plastik yang membungkus makanan tengahari. Buat alas perut. Rezeki masing-masing…

Tembak

Aku perlu lebih banyak menembak untuk melegakan tekanan. Setiap letupan peluru yang aku bedil, seolah-olahnya seperti hilang satu isu yang mengocak benak. Bidikan yang aku tenang, tingkatkan rasa sabar dalam diri. Oh, ada satu pusingan lagi. Tulis lagi lain kali.

Ribut

Sekitar kawasan rumah aku ribut tadi. Kebetulan ada sahabat yang anjurkan ‘house warming’. Meliuk-lentuk khemahnya ditiup angin ganas amarah alam. Wajah memasing tampak bimbang tiada yang datang. Lantas pantas aku mengajak isteri mengemas segera barang yang baru dibeli di pasaraya sebelum itu dan ke rumah sahabat ini tadi. Wajah ceria kembali, kami yang pertama tiba tatkala titisan akhir hujan ribut menerjah bumi Klang. Ok,itu gambaran yang dramatik sangat. Kah kah kah.. Semoga kalian, yang baru bernikah, sama seperti kami, berbahagia sentiasa hendaknya. Amin…

Entah, Kepala Aku Kosong Sekarang.

Kalau hendak diikutkan, memang banyak perkara hendak diselesaikan. Tapi aku malas mahu fikirkan semua. Biarlah kepala aku kosong buat masa sekarang.

Rajuk

Ada sahabat-sahabat sudah datang menyapa. Aku sudah semakin senyap di pejabat. Khabar pun jarang kedengaran. Batang tubuh pun kadang-kadang sahaja kelihatan. Yang nakal pula bertanya, apakah aku menyimpan rajuk pada Jabatan atau ada yang buat aku berkecil hati.

Tidak. Aku tidak berkecil hati.

Hanya merasa jauh hati.

Kucing: Salah Tuan Atau Binatang Itu?

Hari itu ada kes di suratkhabar tentang penduduk yang mengadu kucing yang mengganggu. Bau busuk, kata mereka. Pemilik kucing memelihara sehingga berpuluh ekor kucing dalam rumah. Kawasan yang didiami pemilik kucing itu pula kawasan perumahan teres.

Aku memahami perasaan pemilik kucing-kucing itu. Beliau terlalu sayangkan kucing kerana kucing adalah ciptaan Tuhan yang comel dan jinak serta manja. Siapa yang tak terpaut melayan keletah kucing yang manja. Malah ramai juga masyarakat urban kini memelihara kucing atau anjing sebagai peneman di rumah untuk menghilangkan stress pejabat. Ya, kucing sangat membantu.

Sebagai haiwan yang tidak punya akal untuk berfikir mana yang baik dan buruk, tentulah penjagaan dan kebersihan haiwan-haiwan tersebut menjadi tanggungjawab mereka yang memelihara. Aku fikir aspek ini yang pemilik kucing tersebut terlepas pandang. Najis dan pergerakan haiwan-haiwan ini, jika tidak dijaga dan dikawal, pasti mendatangkan suasana tidak tenteram di kalangan jiran-jiran yang berdekatan. Apatah lagi kalau bilangannya mencapai sehingga puluhan ekor!

Justeru, sekiranya kumpulan penduduk mengadukan masalah tersebut kepada pihak berkuasa, dan pihak berkuasa mengeluarkan arahan untuk memindahkan haiwan tersebut, apakah ia menunjukkan para penduduk tidak menyayangi kucing? Tidak, kerana penduduk tidak selesa dengan tindakan pemilik yang gagal menguruskan haiwan peliharaannya dengan baik. Justeru, beliau harus mengeluarkan koleksi kucingnya kerana beliau hilang kelayakan untuk membela haiwan-haiwan comel tersebut.

Yang salah adalah pemilik, dan tindakan dibuat adalah ke atas pemilik – bukan haiwan. Jadi tidaklah timbul isu “hilang perasaan kasih pada binatang” atau “hilang perikemanusiaan”. Malah, kerana kita sayang pada binatanglah kita mahu mereka semua mendapat Tuan yang tahu menjaga mereka dan manusia-manusia di sekelilingnya. Apatah lagi Nabi juga selalu berpesan untuk mengasihi sesama manusia dan segala ciptaan-Nya.

Peace & Love…

Kahwin

Selamat sudah aku bernikah.
Kami kini sudah terikat sah.
Berbondong-bondong sahabat datang merai.
Cukup menggamit rasa terharu di hati.
Seluruh hati aku beri, untuk ucap dan kalung sejuta apresiasi.
Atas kesudian memeriah majlis kami.
Sedikit terdetik pemikiran ku ini.
Kadang sahabat pun semacam saudara sendiri.
Persahabatan selamanya, ini aku janji.
Baini dan Adik, Fariq, Azam, Farah, Sheila, Fadhil, Kimi, Asraf, Hisham, Mat, Bobob, Ruq, Cha..sekadar menyebut beberapa nama yang hadir atas jemputan istimewa.
Kenapa istimewa?
Sebab ia adalah majlis di pihak perempuan. Aku tak punya hak untuk menjemput, wajib untuk aku hormati limitasi itu. Namun, aku telah mohon izin untuk aku jemput beberapa sahabat yang aku cukup selesa berkawan. Yang lain tetap aku akan jemput di Johor nanti.
Juga, buat sahabat-sahabat yang disayangi yang aku jemput tetapi tidak dapat menghadirkan diri. Hadiah dan ucapan yang kalian kirimkan cukup untuk menggembirakan aku. Diselit pula dengan ucapan yang pelbagai nadanya. Ada yang mengusik, ada yang mengucap tahniah. Aku dan isteri ucap terima kasih.
Janji aku, pabila tiba masa kalian nanti, aku akan bantu dengan seluruh kudrat yang aku ada.
Oh ya, ayah bonda kami suami isteri turut menyampaikan salam apresiasi buat kalian.
Janji aku lagi, walau aku sudah berfamili, sahabat tidak akan aku lupa walau sekali. Kita akan tetap cari masa untuk duduk bersama, menghirup kopi secawan dua sambil berbual panjang dan gelak ketawa. Semesra waktu aku bujang dahulu.
Aku sayang kalian. 🙂