Trip Ke Penang 4 – Trust Me, I Just Love The Kids!

Gas penghawa dingin menghambur. Bunyinya seakan sudah habis kesemuanya dari tangki. Fariq bergegas keluar dari kereta menuruti aku. Farah semacam tidak keruan, tidak pasti apa yangs edang berlaku.

“Oh, gas bocor. Takde apalah ni. Cuma panas sikitlah lepas ni..” kataku pada mereka dalam nada separa selamba.

Nombor mekanik yang servis penghawa dingin tempoh hari aku dail. Lama deringannya, masih mabuk dengan Tahun Baru Cina, mungkin.

“Halo, ini gas sudah bocor la kawan..! Servis satu ribu lebih pun bocor lagi ka??!” jerkah aku. Mekanik itu diam saja dan minta maaf.

“Nanti Sabtu you datanglah, saya repair. Saya kasi u free saja. Ok ka?” Balasnya dalam nada memujuk.

Aku tamatkan saja perbualan disitu. Malas mahu berbual panjang sedang perjalanan masih jauh. Gunung Lang pun belum sampai.

Perjalanan ke Gunung Lang aku ringkaskan. Aku lihat tatkala kereta-kereta kami diparkir, Izzat dan Zuhair lain macam gembiranya. Air terjun dan tasik yang dilatari bukit-bukit batu kapur yang indah tersusun, taman permainan kanak-kanak yang sedang meriah dengan audiennya, dan bot yang sibuk melayan pengunjung yang mahu ke pulau di tengah tasik tersebut. Sememangnya Gunung Lang ini wajar menerima pengunjung yang ramai.

Melayan keletah dua beradik itu sangat meletihkan. Namun aku gembira. Aku sebut berkali-kali sebutkan hal ini kepada Prof, “Trust me, Prof..I just love kids.”

Lebih dua jam di sana, kami tinggalkan Gunung Lang dengan perasaan gembira yang berbekas. Kegembiraan itu akan jadi bekalan untuk menutup duka, barangkali seminggu dua. Keputusan kemudian dibuat, kami ke Restoran Vanggey. Dengar-dengarnya itu restoran nasi kandar terbaik di Ipoh. Tapi menikmati nasinya, aku simpulkan prestasinya hanya biasa-biasa saja. Atau mungkin lidah aku sudah penat untuk menjamah makanan. Dua beradik itu pun sudah mula buat  perangai dek kerana keletihan. Ada saja yang tidak kena. Nasiblah kepada yang menjaga mereka. I just love the kids! Haha..

Itu sahajalah trip kami ke Penang. Empat siri semuanya, bukan kerana mahu cari populariti, tetapi tidak dapat menulis panjang-panjang setiap entri. Ada komitmen lain.

Oh ya, tidak lama selepas trip ke Penang ini, kami buat piknik. Tunggu entri itu ya! đŸ™‚

Trip Ke Penang 3

Sedang dalam sesi makan-makan, terbit cadangan untuk ke Sungai Petani oleh Prof Rajib yang turut serta dalam trip kali ini. “Ah, sudah..ini bukan sebahagian dari rancangan. Pasti lewat kalau aku turuti kehendaknya!” getus hati mendengar saranan tersebut.

“Sampai sana kita boleh singgah sekejap di rumah kakak saya. Lepas tu kita makan malam di Kuala Perlis.” sambung Prof Rajib lagi. Makin cemas aku dibuatnya. Aku pandang Farah dan Fariq. Mata-mata kami dalam irama dan pemahaman yang sama – langsung kurang setuju. Masing-masing punya komitmen sendiri esok.

Aku diamkan saja dan biarkan hal itu berlalu. Tiba-tiba, entah siapa, keluarkan cerita cadangkan agar ke tempat yang anak-anak Izzatul boleh bermandi-manda dan bercanda di air. “Ya, inilah peluangnya untuk aku cadang ke suatu tempat yang menghala ke selatan..!” hati aku menjerit. “Bukit Merah Laketown Resort, Prof!” lancar sahaja mulut aku mencadang.

Tanpa ragu-ragu terpancar di wajah beliau, langsung bersetuju. Lega! Farah dan Fariq memandang aku senyum berterima kasih. Jika Farah dan Fariq baca ini, kalau pun kau orang tidak berterima kasih waktu itu, sekurang – kurangnya itu yang aku nampak!

Perjalanan keluar dari pulau lancar tanpa ada sedu trafik.

Singgah beli petrol di Shell luar pulau Mutiara. Aku keluar membayar petrol, tinggalkan Farah dan Fariq di kereta. Fariq isi minyak dan aku terus di dalam kedai untuk menjolok duit dari karung elektronik CIMB. Usai semuanya, aku masuk semula ke dalam kereta dan Fariq terus hulurkan ipad disusuli cadangan baru – “Aku rasa kita patut ke Gunung Lang, Ipoh. Farah sudah selidik tempat ini, menarik katanya. Anak-anak Izzatul boleh bermain disitu, semua ada.”

Tergamam. 5 minit ubah segala, sempat saja mereka bicara dan berdiskusi akan hal itu. Aku tak punya masalah.

“Tunggulah Izzatul sampai. Usulkan pada dia, biar dia majukan kepada Prof..” respon ringkas dari aku. Seperti mengetahui apa yang kami bualkan dalam kereta, Izzatul kebetulan lalu melintasi kereta yang kami naiki.

“Ha, itu dia, turunkan cermin, kau cakap pada dia, Zhafrie..”

“Kau cakaplah..” aku membalas sambil menurunkan cermin tingkap.

“Izzatul..!” panggil Fariq.

Usul dimajukan. Izzatul kelihatan tiada masalah untuk menerimanya. Mungkin dia merasakan asal saja anak-anaknya bergembira, apa saja, dan dimana saja tempatnya tidak akan jadi hal. Perjalanan kemudiannya kami teruskan.

Berhenti di Tapah (atau Taiping. Aku lupa) sekejap sebab Fariq cadangkan kami bergerak sekali menuju ke Ipoh. Cuaca waktu itu memang panas yang menekan. Lagipun Azam dan kesayangannya seperti jauh ketinggalan di belakang. Perlu tunggu.

Pom…!! Gas terhambur dari bonet hadapan kereta tua aku. Aku panik. Farah dan Fariq tidak keruan. Apakah gas itu? Apa yang terjadi?

Bersambung ke siri keempat.

 

Kipas Berputar, Mata Masih Segar

Entah kenapalah sukar benar mata mahu lelap. Berguling ke kiri, mengiring ke kanan, meniarap, semua posisi sudah aku lakukan. Mata masih segar. Otak menerawang berfikir bermacam perkara. Semuanya duniawi. Haha. Lelaplah sang mata kesayangan, esok kita punya agenda untuk dibereskan.

Trip Ke Penang 2

Menyelusuri jalan-jalan di Pulau Pinang, aku perasan satu pemandangan hiba – jurang kaya dan tidak. Lebih hiba ia memisahkan dua kaum. Di kawasan perumahan mewah, kebanyakannya terpacak mini tokong mewah di tiap rumah. Kawasan flat kos rendah, hampir seratus peratus Melayu. Situasi yang hampir serupa Singapura.
Entah manalah silapnya. Mungkin sikap orang kita sendiri atau konspirasi terancang pemerintah tempatan. Siapa tahu kan? Tetapi pemandangan itu memang menghibakan.
Usai toys museum, semua sudah rungut lapar. Manakan tidak, ada yang sekadar minum air tatkala bersarapan di warung dalam kampung sekitar Permatang Pauh awalnya tadi. Farah cadang satu kedai, tiada yang kata tidak. Ikut sajalah, Penang ini dia yang arif. Lagipun tembolok kami laparnya sudah menjolok-jolok minta diisi. Haha.
Apa nama kedainya pun aku sudah lupa. Mamak, itu yang aku pasti. Kata Farah, cheese nan-nya memang terbaik. Aku pilih ayam mentega dan roti nan. Bila hidangan tiba, aku cubit sedikit ayam itu dan…wallaweh! Terangkat! Belum selesai kepingan nan itu, Fariq sudah menyuarakan untuk tambah sekeping lagi. Farah laju setuju. Aku menurut, tapi mahu kongsi separuh dengan Fariq sebab aku mahu tinggalkan sedikit ruang untuk mi udang Kuala Sepetang. Belum sempat mamak yang ambil pesanan tambahan itu melangkah jauh, aku ubah fikiran – tambah sekeping nan lagi, jadi tiga keping semua. Nan-nya mengugah prinsip ruang simpanan perut aku. Peruntukan untuk mi udang aku kebas. Apakah aku dapat nikmati mi udang itu? Jumpa di lain tulisan. Aku mau tidur. Selamat malam.

Trip Ke Penang

Dari Permatang Pauh ke Balik Pulau, semua yang terbaik aku nikmati. Burger rusa saiz besar, makan 4 orang jadi hidangan pertama di negeri pinang sebatang itu. Terbaik, itu getus hati tatkala mengunyah perlahan gabungan daging rusa, sambal khas ciptaan pengusaha kedai dan rencah tipikal burger yang lain. Kemudian kembali ke bilik dan berehat setelah jauh kembara dari Shah Alam.
Alhamdulillah, pagi di desa Permatang Pauh dapat aku nikmati udaranya dari jendela hotel bajet Adamson inn. Bersiap untuk memulakan kembara baru, terkocoh-kocoh aku mengemas. Hasilnya, aku tertinggal charger telefon bimbit.
Selepas sarapan yang mengalas perut di kawasan sekitar penginapan, kami bergerak menuju pulau. Lengang, jauh dari jangkaan. Tujuan pertama- toys museum. Sepuluh ringgit yurannya. Seronok aku tengok gelagat Izzat dan Zuhair, anak seorang rakan sekelas yang sangat teruja tatkala aku kuak pintu muzium. Naluri kebapaan berdenting-denting keujaan. Haha. Cuma aku terkilan dengan muzium itu sendiri. Susunan toys yang rancu dan bobrok. Habuk menyelimuti setiap unit patung-patung mini – tebal! Tandas tak berpaip air, sungguh tidak sensitif pada budaya. Ah, mungkin sepuluh ringgit hanya untuk bayar sewa premis yang terletak di tengah-tengah kota ini.
Nantikan bahagian dua, aku punya komitmen lain. Hehe.

Sungai Bakap, Menanti dan Berharap

Entri dari utara – Pulau Pinang. Hentian sebelah Sungai Bakap. Penginapan kira-kira 20 minit dari hentian ini. Duduk minum kopi sementara menunggu sebuah lagi kereta yang menyertai konvoi sahabat sekelas. Berbual dengan Prof Madya Rajib Ghani (baca: Rajib), nama besar bidang perangsaraf Malaysia, yang katanya disisih secara terancang. Tidak mengapa, bukan itu isi entri ini. Oh ya, Fariq, sahabat sekelas turut semeja.
Kata Rajib, masalah adalah ilusi. Kenyataan yang menarik perhatian. Diam aku menanti beliau meneruskan hujahan. Katanya lagi, sambil menghembus asap rokok yang tak lepas dari celahan jari, apa yang kita fikirkan dan tafsirkan sebagai masalah, tidak akan wujud lagi selepas suatu jeda masa. Sebagai buktinya, beliau lontar soalan pada kami, apa masalah yang kami lalui dua bulan lepas. Sedang aku memikirkan jawapan, dan belum sempat jawab, apakah masalah itu masih lagi masalah pada waktu ini? Mana masalah itu pergi? Tiada lagi bukan? Sekali lagi, belum sempat aku jawab pakej soalan itu, beliau merumuskan bahawa masalah itu sebenarnya hanya ilusi. Semacam mimpi. Tatkala kau sedar dan jaga, mungkin kau pun akan lupa kau pernah melaluinya. Berat topik sesi kopi malam ni. Kereta yang sebuah lagi sudah sampai. Terus tuju penginapan.

Panas Baran

Telinga cepat berdesing. Hati cepat panas. Kekadang ia datang tatkala tiada kemudahan air untuk berwudhuk. Apa lagi ubatnya. MashaAllah..